X
Selasa, 16 Jun 2015 | 1:31pm

Palanivel gantung timbalan, naib dan 13 yang lain

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel. - Foto Aizuddin Saad
Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel menggantung keahlian Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Naib Presiden, Datuk M Saravanan dan 13 ahli lain selama setahun.

G Palanivel berkata, penggantungan keahlian individu terbabit berikutan kegagalan mereka membatalkan mesyuarat tidak sah Interim Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) penggal 2009-2013, semalam.

"Semalam saya mengeluarkan notis kepada semua ahli CWC dan pemimpin parti yang lain untuk membatalkan mesyuarat tidak sah itu dan mengajukan kepada saya notis pembatalan mesyuarat itu.

"Bagaimanapun, individu ini tidak berbuat demikian. Jelas sekali, tindakan individu berkenaan bercanggah dengan perlembagaan dan kepentingan parti. Dengan kuasa yang ada sebagai presiden, saya menggantung keahlian ahli berkenaan selama 12 bulan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain dua pemimpin tertinggi parti itu, individu lain yang digantung keahlian adalah Datuk Seri S K Devamany, N Rawisandran, Datuk R Ganesan, Datuk M Davendran, Datuk KRA Naidu, Datuk V M Panjamothy, P Manivasagam, S Ananthan, M Mathuraiveran, Datuj M Asojan, P Shanmugan, Mohana Muniandy dan K R Parthiban.

"Individu lain yang menandatangani notis tidak sah itu juga sudah digantung keahlian mereka lebih awal, yang mana penggantungan itu adalah kekal.

"Saya sudah mengeluarkan surat penggantungan berkenaan semalam yang akan diterima oleh mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata, berikutan penggantungan itu, individu ini tidak boleh terbabit dalam sebarang aktiviti parti sebagai ahli.

Berita Harian X