Sabtu, 6 Februari 2016 | 1:29pm

Pemimpin lama UMNO perlu sokong barisan pengganti

AHMAD Zahid berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan ke-64 dan Karnival Keusahawanan Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun di Bagan Datoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan ke-64 dan Karnival Keusahawanan Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun di Bagan Datoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad

BAGAN DATOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas pemimpin UMNO perlu memberi sokongan kepada kepemimpinan sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan mereka sepatutnya disampaikan secara berhemat

"Jika dilakukan sebaliknya, ia hanya umpama 'menepuk air di dulang yang akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Walaupun zaman kita sudah berlalu, kekuatan kita ketika memegang tampuk kepemimpinan parti dan kerajaan adalah disebabkan dokongan daripada pemimpin peringkat bawahan dan pertengahan.

"Justeru, apabila mereka ini berada di peringkat teras kepemimpinan kerajaan dan parti, orang lama harus mendokong dan menyokong.

"Jika ada berbeza pendapat, sampaikanlah dengan penuh kebijaksanaan dan bukan dengan menempelak kerana akhirnya tempelak itu tertampar di muka sendiri," katanya ketika diminta mengulas kritikan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, berhubung isu politik Kedah.

Diminta mengulas kemungkinan ada lagi perubahan pucuk kepemimpinan di negeri lain selepas Kedah, Ahmad Zahid berkata; "Saya tak dengar khabar, saya tak dengar angin yang bertiup."

Berita Harian X