Selasa, 23 Februari 2016 | 12:13pm

Kritikan berterusan terhadap Najib gusarkan ahli

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Abdullah Yusof
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Abdullah Yusof

AYER KEROH: Teguran terbuka Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz, terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin, semalam, membuktikan kerunsingan ahli parti terhadap 'gelora' membabitkan kepemimpinan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron, berkata kritikan berterusan Timbalan Presiden parti itu terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO, bertentangan dengan apa yang diharapkan ahli ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, ahli parti mahu presiden dan timbalannya bersatu hati demi kepentingan parti dan negara.

"Dengan semangat yang tinggi pada perhimpunan agung lalu, ahli mengharapkan kejernihan berlaku di peringkat pucuk pimpinan parti, namun ia tidak menampakkan hasil.

"Tan Sri Muhyiddin sepatutnya menggunakan platform parti untuk bersuara dan bukannya di luar parti," katanya selepas melepaskan pengayuh beca Melaka sempena Siri Jelajah Beca 1Malaysia 2016, di Seri Bendahara, di sini, sebentar tadi.

Nazri semalam dilapor meminta Muhyiddin menghentikan `serangan' terhadap Perdana Menteri atau meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO jika tidak bersedia untuk terus menyokong Najib.

Berita Harian X