Khamis, 30 Jun 2016 | 10:15am
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa

Blok ketiga pembangkang akan jadi pesaing - PAS

KOTA BHARU: Blok ketiga pembangkang yang diterajui PAS akan menjadi saingan utama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata blok ketiga itu memerlukan kira-kira tiga tahun untuk menjadi pesaing yang kuat.

"Jika PRU-14 diadakan dalam tempoh itu, blok ini akan menjadi pencabar utama tetapi jika ia dibuat lebih awal seperti tahun hadapan, kita kesuntukan masa," katanya pada majlis dialog dan berbuka puasa kepemimpinan kerajaan negeri bersama media di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassuruddin Daud.

Mohd Amar berkata, PAS tidak bersendirian menghadapi PRU-14 walaupun sudah keluar daripada pakatan pembangkang.

Katanya, PAS mempunyai rakan baharu yang akan bekerjasama dengan beberapa parti kecil termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita masih di peringkat permulaan dan akan berbincang untuk mengadakan kerjasama lebih jelas dalam mengukuhkan blok ketiga parti pembangkang," katanya.

Berita Harian X