Jumaat, 4 November 2016 | 4:53pm

Sedia bersama barisan pembangkang walaupun 'pahit' - PAS Kelantan

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. - Foto https://aidcnews.wordpress.com
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. - Foto https://aidcnews.wordpress.com

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mengikut apa sahaja keputusan PAS Pusat, termasuk menyertai barisan pembangkang walaupun 'pahit' diterima untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata langkah itu sebagai menghormati sekiranya keputusan mengenai perkara itu dibuat pimpinan Pusat kelak.

Bagaimanapun, katanya ia tidak bermakna PAS Kelantan berdiam diri dan tidak akan menyata dan memberi pandangan untuk dinilai pimpinan Pusat.

"Apa saja keputusan dibuat oleh pimpinan PAS Pusat, kita (PAS Kelantan akan ikut walaupun pahit.

"PAS Kelantan sudah membuat keputusan akan mematuhi apa sahaja keputusan PAS Pusat (termasuk menyertai barisan pembangkang).

"Cuma kita akan beri pandangan dan segala masalah yang akan dihadapi apabila sudah ada keputusan dibuat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada PAS Kelantan akan bekerjasama dengan barisan pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, berkata begitu juga perkara yang membabitkan pilihan raya, PAS Kelantan akan mematuhi keputusan PAS Pusat sama ada bertanding atas nama barisan pembangkang atau pun secara bersendiri jika berlaku kerjasama.

Katanya, sekali pun jika keputusan parti itu terpaksa bersama barisan pembangkang atau Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRU-14, PAS Kelantan tidak akan tunduk kepada sesuatu keputusan parti pembangkang lain, kecuali PAS Pusat.

"Kita akan berlawan (bertanding) mengikut keputusan PAS Pusat. Jika arahan di Kelantan, PAS bertanding lawan tiga parti, kita akan patuh, sebaliknya jika satu lawan satu juga kita akan ikut," katanya.

Ditanya kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini bahawa PAS Kelantan sudah menutup pintu rundingan dengan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bekerjasama dalam PRU-14 bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, katanya perkara itu adalah pandangan beliau.

"Namun, jika menjadi keputusan PAS Pusat (akan bekerjasama dengan PAN dan parti pembangkang lain), kita akan ikut," katanya.

Berita Harian X