Isnin, 14 November 2016 | 6:21pm

Henti politikkan isu sekolah vernakular - Pemuda UMNO

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan. - Foto Azhar Ramli
EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menempelak MCA yang hanya tahu mempolitikkan sentimen sekolah vernakular Cina bagi meraih sokongan dan undi kaum itu.

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata landasan politik lapuk yang digunakan MCA itu hanya menyekat inisiatif mengukuhkan perpaduan di negara ini yang juga adalah agenda nasional.

Katanya, tuntutan MCA supaya kerajaan menjadikan peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagai mandatori dalam bajet tahunan adalah langkah ke belakang dan tidak wajar dipertimbangkan.

"Tuntutan MCA adalah pelik dan seperti sengaja mempolitikkan sentimen itu sedangkan SJKC menerima peruntukan sekitar RM100 juta di dalam bajet tahunan.

"Sistem pendidikan vernakular adalah penghalang kesatupaduan rakyat. Kerajaan seharusnya mengurang serta menghentikan bantuan kewangan atau pengiktirafan terhadap pendidikan vernakular.

"MCA wajar membina strategi lebih komprehensif dan bijaksana berbanding hanya menggunakan isu SJKC untuk menarik undi kaum Cina," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahril Hamdan yang juga Pengerusi Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP), mengulas tuntutan MCA dalam Perhimpunan Agung MCA Ke-63, semalam, yang antara lain menggesa sistem pendidikan pelbagai aliran dipertahankan, selain menambah kelulusan penubuhan SJKC baharu.

Berita Harian X