Khamis, 1 Disember 2016 | 3:04pm
Jangan bernostalgia dengan kepemimpinan terdahulu

Jangan bernostalgia dengan kepemimpinan terdahulu

KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO dilihat diingatkan tidak perlu lagi bernostalgia dengan kepemimpinan terdahulu sebaliknya memandang ke hadapan dengan memberikan mandat kepada kepemimpinan yang sedia ada.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang telah berlalu perlu dijadikan sempadan dan panduan untuk berhadapan dengan masa depan.

Katanya, generasi Y dan Z mahu UMNO menghidangkan sesuatu yang relevan dengan citarasa, pemikiran dan pola tingkah laku dan gelagat sosial yang sesuai untuk masa depan.

"Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak sudah nampak perkara ini dan menterjemahkannya melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kepada kumpulan ini.

"Menjadi tanggungjawab pemimpin muda seperti Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menterjemahkannya," katanya pada sidang media mengulas ucapan Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau melihat mood perwakilan pada perhimpunan kali ini berbeza dengan tahun lalu.

Katanya, tahun lalu perwakilan berhadapan situasi penuh dengan ketidaktentuan dan kali ini mereka dapat menerima dan bersama kepemimpinan parti untuk melihat ke hadapan yang mana parti kini berada di atas landasan yang benar.

"Alhamdulillah majoriti perwakilan masih bersama dengan parti terus memberikan mandat kepada Presiden," katanya

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan anggota Majlis Tertinggi UMNO sebelum bergambar bersama mereka sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC, hari ini. - Foto BERNAMA
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan anggota Majlis Tertinggi UMNO sebelum bergambar bersama mereka sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X