Sabtu, 3 Disember 2016 | 11:25am
WAKIL Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Roslin Mat Tahir
WAKIL Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Roslin Mat Tahir

KPT perlu pantau bilangan IPT dan kursus

KUALA LUMPUR: Wakil Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin hari ini membangkitkan isu kawalan terhadap bilangan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan kursus yang ditawarkan berikutan bilangan penganggur dalam kalangan siswazah ketika ini mencecah 200,000 orang atau 50 peratus daripada jumlah penganggur di negara ini.

Ketua Wanita UMNO Pasir Salak berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, pengangguran ketika ini berada pada kadar 3.4 peratus.

Beliau berkata, dulu negara hanya memiliki lapan Universiti Awam (UA) seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Utara Malaysia, namun kini wujud pelbagai universiti baharu sehingga ada yang tidak dikenali.

Katanya, dulu pelajar dihantar ke luar negara kerana tiada tempat di UA tetapi kini bilangan universiti tempatan baharu begitu banyak.

"Persoalannya adakah ada sebarang kawalan dibuat terhadap bilangan IPT dan bidang yang ditawarkan... ada pihak yang berpendapat mungkin terlalu banyak IPT di negara ini yang mengeluarkan terlalu ramai graduan yang tidak dapat ditampung oleh pasaran pekerjaan.

"Adakah ini disebabkan oleh penawaran pelbagai bidang kursus di kampus yang tidak seimbang dengan bilangan dan jenis peluang pekerjaan yang ada di pasaran?," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Dr Wan Norashikin berkata kemungkinan keadaan itu berlaku akibat penawaran kerja tidak seimbang dengan bidang yang ditawarkan atau negara berjaya menghasilkan ramai siswazah saban tahun namun belum dapat mencarikan pekerjaan untuk mereka.

Selain itu, beliau berkata, negara juga belum dapat menghasilkan pelajar terbaik tahap dunia atau pakar inovasi kerana yang terbaik dalam kalangan kita bekerja di luar negara.

Katanya, kerajaan perlu memperbanyakkan kursus teknikal yang menawarkan bidang yang boleh bersaing di pasaran pekerjaan semasa seperti bidang teknikal, vokasional dan kemahiran.

"Oleh itu UMNO Perak menyarankan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi dapat memantau bilangan IPT dan kursus yang ditawarkan supaya relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

"Selain itu menarik pelajar pintar dari luar negara seperti Afrika dan Asia dengan menawarkan insentif menarik seperti biasiswa dan kemudahan lain supaya dapat menambah cerdik pandai di negara kita," katanya.

Berita Harian X