Khamis, 26 Januari 2017 | 11:54am

Pilihan raya awal di Sabah, bukan memeranjatkan

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah jika diadakan lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Ahli akademik, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan, berkata cakap-cakap mengenai PRN Sabah akan diadakan lebih awal sudah menjadi perbualan sejak setahun lalu dan rakyat negeri ini juga pasti dapat menerima jika ia diadakan lebih awal sebelum PRU-14.

"Saya mendengar mengenai isu ini (PRN lebih awal) sejak setahun lalu dan ia berulang lagi. Jika dahulu ia mungkin khabar angin, tetapi sekarang sudah mendapat liputan media.

"Jika PRN diadakan lebih awal di Sabah, ia adalah hak Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri. Sebagai pemerintah, jika difikirkan sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan PRN, sekali gus mencapai kemenangan besar, ia wajar diadakan.

"Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan jika diadakan lebih awal pada tahun ini, " katanya ketika dihubungi BH.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyifatkan cakap-cakap mengenai PRN Sabah akan diadakan lebih awal sebelum PRU-14 sebagai spekulasi, namun segalanya berkemungkinan.

Pairin yang juga bekas Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata sama ada berlaku PRN lebih awal atau tidak, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah diarah bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Mohd Hamdan yang juga Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata dalam keadaan ekonomi tidak stabil dan parti politik baharu tumbuh dengan banyaknya, adalah lebih baik jika PRN Sabah diadakan lebih awal.

"Jika tidak mahu mengambil risiko dengan keadaan politik di Semenanjung selain cabaran parti politik yang baharu berkembang, mungkin ini masa yang sesuai diadakan pilihan raya.

"UMNO Sabah juga masih mantap dan tiada masalah, justeru inilah masa terbaik untuk mengadakan PRN, " katanya.

Berita Harian X