Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:44am

Kerjasama blok pembangkang dimuktamadkan Februari ini

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara menetapkan sehingga pertengahan bulan depan untuk mana-mana parti menyertai kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub, berkata PH dan PPBM terbuka dan sudah menunaikan tanggungjawab besar menyatukan parti pembangkang.

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. - Foto Nurul Shafina Jemenon
TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Masa sudah tamat dan kita tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa kemungkinan sekalipun. Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk PH dan PPBM membuat keputusan muktamad.

"Parti Amanah Negara yakin dan percaya rakyat semakin faham dan boleh menjadi hakim, parti manakah yang konsisten menolak meja perundingan dan parti manakah yang konsisten berpadu dan bermuafakat untuk menentang BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada PAS ketika DAP kembali menawarkan untuk bekerjasama dengan parti siasah itu, manakala Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berusaha mewujudkan jalinan kerjasama dengan PAS.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan menemui Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Portal berita rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan pertemuan hampir dua jam di Kota Bharu itu antaranya membincangkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Salahuddin berkata, parti serpihan PAS itu bersependapat dengan pandangan pimpinan rakan dalam PH dan PPBM untuk memutuskan pendirian dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk bersama dengan gabungan besar pembangkang sebagai persediaan akhir mendepani BN pada PRU akan datang.

"Kita menyaksikan betapa terbukanya pimpinan PKR menghulurkan salam permuafakatan dan yang terkini pimpinan utama DAP pula bersedia menerima PAS dalam gabungan pembangkang demi menyelamatkan negara yang dilanda krisis terbesar akibat salah guna kuasa," katanya.

Berita Harian X