Sabtu, 25 March 2017 | 2:37pm

Dakwaan Husni bertanding bebas hanya spekulasi

MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Asyraf Hamzah

IPOH: Dakwaan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan bertanding sebagai calon bebas mempertahankan kerusi Parlimen Tambun hanyalah spekulasi dan gimik politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata dakwaan itu hanya spekulasi masyarakat dan usaha beberapa pihak untuk memberi imej tidak baik terhadap UMNO Tambun.

"Sepanjang mengenali Datuk Seri Husni, selagi kenyataan itu tidak datang dari mulut beliau sendiri, saya menganggap apa yang didakwa hanya spekulasi. Saya tidak fikir beliau akan melakukan tindakan sedemikian.

"Saya anggap perkara itu adalah usaha pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh atau golongan yang cuba mengambil kesempatan dengan melihat kedudukan beliau," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan UMNO Bahagian Tambun, di sini, hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Sementara itu, Zambry berkata, situasi semasa UMNO Tambun selepas Husni melepaskan jawatannya sebagai ketua bahagian, selain menteri, tidak menjejaskan gerak kerja.

"UMNO Tambun dalam keadaan baik dan daripada krisis.

"Kita yakin kerusi Parlimen Tambun akan kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada PRU yang akan datang," katanya.

Berita Harian X