Rabu, 12 April 2017 | 1:57pm

Pemilihan PAS: Nuridah dicabar Siti Zailah

 NURIDAH Salleh dan Siti Zailah Mohd Yusof.
NURIDAH Salleh dan Siti Zailah Mohd Yusof.

KUALA LUMPUR: Episod sama bakal berulang pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat Sesi 2017-2019 apabila Ketuanya, Nuridah Salleh bakal dicabar sekali lagi oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Nuridah pernah tewas kepada Siti Zailah pada pemilihan 2011 selepas mengekalkan jawatan ketua selama dua penggal iaitu bagi sesi 2007-2009 dan 2009-2011.

Selepas dua penggal mengemudi pergerakan itu, Siti Zailah terpaksa akur dengan kehendak perwakilan apabila tewas kepada Nuridah pada pemilihan 2015.

Kedua-duanya turut menerima pencalonan bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua bagi mencabar penyandangnya, Dr Rosni Adam yang turut dicalonkan kembali ke jawatan itu.

Dr Rosni turut dicalonkan bagi jawatan naib ketua.

Pencalonan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas Pusat Sesi 2017-2019 yang disemak dan disahkan Setiausaha Lembaga Pemilihan PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud semalam turut menerima pencalonan 25 orang bagi mengisi 12 jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) pergerakan itu.

Sementara itu, Wan Rohimi ketika dihubungi mengesahkan pencalonan bagi sayap parti itu ditutup jam 5 petang, Ahad lalu.

Bagi pencalonan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat 2017-2019, beliau berkata, Lembaga Pemilihan menetapkan 17 April sebagai tarikh tutup pencalonan.

Berita Harian X