Sabtu, 15 April 2017 | 11:45am

Nuridah kekal Ketua Muslimat PAS

Nuridah Salleh. - Foto Asyraf Hamzah
Nuridah Salleh. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua apabila pencabarnya, Siti Zailah Mohd Yusof menolak pencalonan.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang ketika dihubungi BH hari ini berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada Nuridah meneruskan perancangan memantapkan pergerakan itu.

Beliau berkata, agenda memperkukuhkan jentera PAS di Kelantan adalah antara alasan beliau tidak berhasrat mencabar Nuridah seperti dilakukan pada pemilihan 2011.

"Saya menolak pencalonan kali ini untuk memberi laluan kepada Ustazah Nuridah. Saya akan beri tumpuan kepada politik dan pembangunan Kelantan," katanya.

Sebelum ini, Nuridah mengesahkan mengemukakan borang penerimaan pencalonan kepada Lembaga Pemilihan PAS Pusat.

Nuridah tewas kepada Siti Zailah pada pemilihan 2011 selepas mengekalkan jawatan ketua selama dua penggal iaitu bagi sesi 2007-2009 dan 2009-2011.

Bagaimanapun Siti Zailah akur dengan kehendak perwakilan apabila tewas kepada Nuridah pada pemilihan 2015 selepas dua penggal mengemudi pergerakan itu.

Kedua-duanya turut menerima pencalonan bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua bagi mencabar penyandangnya, Dr Rosni Adam yang turut dicalonkan kembali ke jawatan itu.

Dr Rosni turut dicalonkan bagi jawatan naib ketua.

Pencalonan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas Pusat Sesi 2017-2019

Lembaga Pemilihan turut menerima pencalonan 25 orang bagi mengisi 12 jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) pergerakan itu.

Sementara itu, anak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil Hadi yang menerima pencalonan Ketua Dewan Pemuda akan membuat keputusan selewat-lewatnya Isnin ini.

"Saya akan beri jawapan selewat-lewatnya Isnin ini, insya-Allah," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda antara tiga yang dicalonkan untuk mengisi kerusi dikosongkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang melepaskan jawatan atas faktor usia.

Berita Harian X