Sabtu, 29 April 2017 | 6:35pm

Saman Sarawak Report demi maruah PAS - Hadi

DATUK Seri Abdul Hadi Awang hadir di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.- Foto Sharul Hafiz Zam
DATUK Seri Abdul Hadi Awang hadir di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.- Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tindakan saman yang diambil ke atas Pengasas dan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, penting demi menjaga maruah PAS yang tercalar.

Presiden PAS itu berkata tindakan saman itu diambil selepas kajian menyeluruh dilakukan yang kemudian diakui membabitkan maruah PAS selaku parti yang berlandaskan Islam.

"Kita kaji secara menyeluruh tindakan saman itu sebab ia berkaitan maruah parti...tindakan diambil untuk menjaga maruah PAS yang tercalar.

"Apabila ia menyentuh perasaan seperti yang dilakukan Nanyang Siang Pau, kita faham ia membabitkan keterlanjuran yang boleh kita maafkan...dalam kes Sarawak Report ini ia berkaitan dengan soal maruah sebab itu tindakannya berbeza (dengan Nanyang Siang Pau)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah di sini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, memaklumkan Abdul Hadi memfailkan saman terhadap Pengasas dan Pengarang Sarawak Report itu di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu melalui peguam Carter-Ruck bagi mendapatkan perintah injuksi dan ganti rugi.

Perintah mahkamah itu dibuat susulan artikel dimuat naik laman web terbabit bertajuk 'As Najib Denies All Over 1MDB, Let's Not Forget His Many Other Criminal Connections' (Memandangkan Najib Menafikan Semua Mengenai 1MDB, Jangan Lupakan Rangkaian Jenayah Beliau) yang disiarkan pada 6 Ogos 2016.

Berita Harian X