Rabu, 10 Mei 2017 | 12:41am

PRU14: PAS Selangor sedia kerjasama dengan parti lain hadapi BN

PESURUHJAYA PAS Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (tengah) bersama ahli jawatankuasa baharu PAS Negeri Selangor selepas mengadakan sidang media di Bangunan Perhubungan PAS Negeri Selangor di Shah Alam.- Foto Muhammad Sulaiman
PESURUHJAYA PAS Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (tengah) bersama ahli jawatankuasa baharu PAS Negeri Selangor selepas mengadakan sidang media di Bangunan Perhubungan PAS Negeri Selangor di Shah Alam.- Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Kepemimpinan baharu PAS Selangor bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi mengingatkan mana-mana pihak terbabit untuk menghormati perjanjian masing-masing.

Katanya, PAS Selangor akan menghulurkan tangannya terhadap sesiapa saja demi perpaduan.

"PAS sebagai sebuah parti yang menghulurkan tangan untuk apa-apa saja bentuk perpaduan. Sebab itu, dalam konteks sekarang ini, bila kita nak laksanakan blok ketiga, gagasan sejahtera... oleh itu kita hulurkan tangan kepada semua.

"Cuma kita mahu mereka supaya sebelum kita menghulurkan tangan, masing-masing perlu menghormati perjanjian," katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS Selangor bersedia berjumpa dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jika Timbalan Presiden PKR itu lagi terus mengadakan perbincangan mengenai hubungan antara kedua-dua parti itu.

Terdahulu Sallehen memperkenalkan barisan kepemimpinan PAS Selangor yang baharu.

Ditanya mengenai kerjasama PAS dalam Kerajaan PKR Selangor, Sallehen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, berkata walau apa pun keputusan Majlis Syura Ulama mengenai tahaluf siyasi, kedudukan parti itu dalam Kerajaan Selangor kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.

"PAS dalam kerajaan dipilih dan diberi mandat oleh rakyat dalam PRU lalu. Ia akan terbubar apabila mandat selesai selepas pembubaran kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, PKR bersedia bertemu dengan PAS untuk membaiki hubungan kedua-dua parti itu, terutama selepas Muktamar PAS baru-baru ini memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pada masa sama, Sallehen turut menempelak desakan Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) untuk semua EXCO dari PAS meletak jawatan dalam Kerajaan Negeri.

"Bila DAP putuskan hubungan dengan PAS dan PAN ditubuhkan, dia suruh PAS tinggalkan Kerajaan Negeri. Boleh jadi PAN tak sabar-sabar nak jadi EXCO, tu suruh PAS tinggalkan (Kerajaan Negeri)," katanya.

Kepemimpinan PAS Selangor

Pesuruhjaya : Sallehen Mukhyi

Timbalan Pesuruhjaya I : Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi

Timbalan Pesuruhjaya II : Mohd Haslin HassanRomanian

Pesuruhjaya III : Mohd Zamri Zainuldin

Berita Harian X