Jumaat, 7 Julai 2017 | 6:41pm

DAP adakan mesyuarat bincang arahan ROS esok

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Khairull Azry Bidin
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Khairull Azry Bidin

GEORGETOWN: DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur esok susulan arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang meminta parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baharu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata kenyataan rasmi akan diberikan selepas mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat DAP pada jam 2 petang itu selesai.

Mengakui terkejut dengan tindakan ROS, Guan Eng berkata setakat ini pihaknya juga masih belum menerima surat rasmi daripada ROS berkaitan arahan berkenaan.

"Saya dimaklumkan mengenai kenyataan ROS itu, tetapi saya tidak tahu adakah kenyataan itu nanti akan sama dengan isi kandungan surat rasmi daripada ROS.

"Bagaimanapun, kita perlu mengadakan perbincangan dahulu dengan semua kepimpinan tertinggi. Sidang akhbar akan diadakan esok selepas mesyuarat tergempar selesai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majestic Theatre di sini, petang tadi.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pemilihan semula CEC yang baharu yang sah dan telus perlu diadakan bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Berita Harian X