Ahad, 9 Julai 2017 | 3:30pm

Isu CEC: UMNO Pulau Pinang bidas DAP

PENANG 26 OCTOBER 2016. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika sidang media mengenai Bajet 2017 yang diadakan di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Menara Bousted, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang. STR/ZULAIKHA ZAINUZMANZULAIKHA ZAINUZMAN
PENANG 26 OCTOBER 2016. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika sidang media mengenai Bajet 2017 yang diadakan di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Menara Bousted, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang. STR/ZULAIKHA ZAINUZMANZULAIKHA ZAINUZMAN

BUTTERWORTH: UMNO Pulau Pinang hari ini, membidas tindakan DAP yang mendakwa Pendaftar Pertubuhan (ROS) cuba mensabotaj parti itu berhubung arahan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).   

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata tuduhan itu tidak sepatutnya timbul kerana pemilihan CEC DAP sememangnya sudah terlebih tempoh (overdue).

"Penggal 2013-2016 sudah tamat tempoh dan pemilihan itu ditangguhkan selama 18 bulan pada tahun lalu. Malah, perlembagaan DAP juga mengehadkan seseorang itu hanya boleh memegang jawatan Setiausaha Agung parti selama dua penggal sahaja.

"Justeru, penggal 2013-2016 adalah penggal kedua Lim Guan Eng menjadi Setiausaha Agung DAP dan tempoh jawatan itu sepatutnya berakhir pada tahun lalu juga telah dilanjutkan selama 18 bulan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Semalam, Guan Eng mendakwa DAP tetap berpendirian pemilihan semula CEC seperti diarahkan ROS tidak perlu dilakukan dengan alasan ia sudah dilakukan pada 29 September 2013.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, keputusan ROS yang tidak mengesahkan pelantikan mana-mana individu ke jawatan tertinggi DAP sebelum ini, membuktikan bahawa lantikan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung parti itu selama ini juga tidak sah. 

"Sekiranya DAP mengadakan pemilihan semula CEC pada tahun ini, Guan Eng masih boleh dilantik semula sebagai Setiausaha Agung kerana ini adalah penggal kedua lantikan yang sah memandangkan pelantikan terdahulu tidak boleh diambil kira. 

"Apakah Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang sangat takut dan bimbang mereka sudah tidak lagi mampu untuk menang cukup undi dan berada dalam kelompok 20 teratas jika pemilihan semula diadakan?," katanya. 

Zainal Abidin juga turut mempersoalkan adakah benar wujud fraksi dalam DAP pada masa ini yang akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk termasuk pertembungan sengit antara fraksi berlawanan, sekiranya pemilihan semula CEC diadakan.

Berita Harian X