Ahad, 6 Ogos 2017 | 1:52pm
DATUK Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Asyraf Hamzah

'3 sekawan' UMNO tak tergugat agenda Tun M

KANGAR: Agenda pembangkang untuk melaga-lagakan tiga tunjang utama UMNO diketuai Datuk Seri Najib Razak, tidak akan berhasil kerana status kesepakatan dan persefahaman antara ketiga-tiga pemimpin terbabit berada pada tahap tertinggi.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang turut percaya serangan peribadi terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ini juga mempunyai motif sama.

"Saya tak ada keraguan langsung bahawa yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ialah Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan bukannya Datuk Seri Zahid.

"Saya tengok Datuk Seri Zahid menjadi sasaran serangan... maklumlah dekat PRU (Pilihan Raya Umum), maka kaedah serang pemimpin kita bermula... mula-mula Perdana Menteri dan kini Timbalan Perdana Menteri pula... saya yakin selepas ini menteri lain pula akan diserang termasuk mungkin diri saya sendiri," katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kangar di sini, hari ini.

Hishammuddin pada masa sama mengakui dirinya juga tidak terlepas daripada agenda pembangkang apabila pelantikan beliau sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dijadikan isu untuk mewujudkan ketegangan dengan Timbalan Perdana Menteri.

"Tiga orang ni (Najib, Ahmad Zahid dan Hishammuddin) yang saya kata 'tiga sekawan' ni kami sekarang dok jalankan tugas yang biasanya lima orang buat dan dalam landskap politik yang berasaskan persepsi ketika ini, segala isu dimainkan untuk melaga-lagakan dan pemimpin kita yang jadi sasaran.

"Saya nak ingatkan, jangan nak laga-laga kerana kami bertiga dalam keadaan tiga sekawan yang cukup kuat, persefahaman cukup mendalam... kami tak akan kompromi dan ahli di akar umbi juga dinasihat tidak terikut-ikut," katanya.

Mengenai isu tuduhan terhadap Ahmad Zahid, beliau mengakui bersetuju supaya Mahathir yang membuat tuduhan turut disiasat, terutama selepas kesediaan disuarakan Timbalan Perdana Menteri itu, termasuk untuk melakukan sumpah laknat.

"Mereka bukan malaikat dan perlu diingat beliau memerintah selama 22 tahun... jangan ingat semuanya sempurna... kalau mereka serang pemimpin kita, takkan ahli kita nak duduk diam diri," katanya.

Berhubung bukti rakaman pertemuan dengan Mahathir yang dikatakan dimiliki Ahmad Zahid, beliau berkata itu terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri, sama ada mahu mendedahkannya atau tidak.

"Apabila berjumpa (Ahmad Zahid dengan Mahathir) jangan ingat saya dan Datuk Seri Najib tak dimaklumkan... kita tahu dan (ketika itu) kita ingat nak hormati (Mahathir) dan ada ruang untuk berbincang... itu motif (Ahmad Zahid) jumpa (Mahathir).

"Mengenai tempoh dua tahun baharu dibangkitkan isu cubaan jatuhkan Perdana Menteri, itu bukan pelik kerana sekarang PRU... Mahathir dahulu pun sama dilabel macam-macam oleh pembangkang termasuk firaun dan kroni... apa beza dengan (serangan) sekarang (Perdana Menteri jadi sasaran)," katanya.

Berita Harian X