X
Ahad, 6 Ogos 2017 | 3:02pm
KETUA UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuantan, hari ini. Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat. - Foto Nurul Nadira Shaari
KETUA UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuantan, hari ini. Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat. - Foto Nurul Nadira Shaari

Fokus rampas kerusi Parlimen Kuantan

KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan sedia membantu calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu yang dimenangi pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12 (PRU12).

Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata, tidak timbul isu mengenai pemilihan calon dari UMNO atau MCA bagi bertanding di kerusi itu kerana yang lebih penting Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kita kena lihat perkara ini dari pelbagai aspek... antaranya faktor calon, kekuatan jentera parti dan program (turun padang) yang memberi impak kepada pengundi di kawasan ini.

"Bagi UMNO Bahagian Kuantan, kita sudah mulakan gerak kerja selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang dilihat berpotensi memberikan undi kepada BN.

"Siapa pun calon, itu kita akur dan kita harap ia (calon) adalah yang terbaik serta disenangi semua pihak, sama ada pihak UMNO, MCA atau parti komponen lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuantan di sini, hari ini. Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Zaiton Mat, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Nara Nordin dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Datin Roslina Ibrahim.

Wan Adnan berkata, walaupun terdapat cadangan daripada akar umbi UMNO Bahagian Kuantan yang mahu calon daripada parti itu dipilih pada PRU akan datang, beliau serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Saya faham perasaan mereka di akar umbi dan kita tahu mereka bekerja kuat sejak tahun 2013 lagi... jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuantan sangat komited dalam melaksanakan pelbagai program yang banyak memberi impak kepada masyarakat di kawasan ini.

"Mereka ada hak untuk menyuarakan hasrat melihat calon yang mereka mahu (bertanding) pada PRU akan datang. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan... mereka boleh nilai hasil kerja semua (parti komponen) yang lain dan buat keputusan terbaik untuk semua," katanya.

Beliau turut meminta Wanita UMNO Bahagian Kuantan untuk terus bekerja keras bagi memenangi hati 30,524 pengundi wanita yang berdaftar di Parlimen Kuantan.

"Kalau semua pengundi wanita ini memilih BN pada PRU akan datang... rasanya tidak ada masalah untuk kita menang dan rampas kerusi Parlimen ini daripada pembangkang," katanya.

Berita Harian X