Sabtu, 12 Ogos 2017 | 1:16pm
AHMAD Zahid berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Batu Pahat, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
AHMAD Zahid menerima cenderahati yang disampaikan Zulkurnain sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Batu Pahat. - Foto Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN perwakilan Wanita UMNO yang hadir ke majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Batu Pahat. - Foto Hairul Anuar Rahim

UMNO akan ketengahkan lebih ramai calon wanita

BATU PAHAT: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lebih ramai tokoh wanita UMNO diketengahkan sebagai calon pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, sudah tiba masanya jasa dan pengorbanan wanita diiktiraf dengan peranan lebih besar di dalam parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah 71 tahun UMNO wujud dan parti harus berubah minda.

"Wanita UMNO sudah bekerja kuat dengan Jalinan Rakyatnya (JR), gigih pergi dari rumah ke rumah berjumpa masyarakatnya yang berterusan tanpa henti-henti.

"Apabila wanita sudah bekerja kuat, jangan hanya puji dalam mesyuarat sahaja dengan kata-kata retorik.

"UMNO perlu ambil langkah proaktif martabatkan wanita dengan ketengahkan 30 peratus tokoh wanita kita dalam PRU14 nanti, bukan sahaja untuk dijadikan sebagai idola malah dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan saya ikhlas dan komited untuk ketengahkan lebih ramai calon wanita dalam PRU14 nanti, malah ini adalah komitmen saya secara peribadi untuk menghargai perjuangan wanita."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Bahagian UMNO Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan serta Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

Berita Harian X