Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:14pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (depan dua dari kanan), Datuk Zulkurnain Kamisan (depan empat dari kiri) dan Datuk Dr Noraini Ahmad (dua dari kiri) ketika hadir bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di MRSM Batu Pahat, dekat Parit Sulong, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

UMNO Johor tidak biarkan rekahan dalam parti - Khaled

BATU PAHAT: UMNO Johor memberi amaran parti akan dilanda keruntuhan jika akar umbi di negeri itu merekah dan berpecah belah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jika UMNO Johor merekah dan berpecah, ia akan menjadi pemula kepada perpecahan yang mampu merebak kepada UMNO secara keseluruhannya.

"Atas pegangan dan pemahaman inilah, UMNO Johor tidak akan sesekali benarkan ada rekahan dalam parti. Kami tidak akan membiarkan hadirnya bibit yang mampu meluntur rona dan tenunan fabrik kesatuan parti.

"Pada kita di Johor, kelangsungan UMNO bermakna kelangsungan politik orang Melayu. UMNO Johor bertanggungjawab memastikan kelangsungan UMNO, bukan hanya di Parit Sulong dan Johor, tetapi di seluruh negara.

"Sekali UMNO Johor merekah dan berpecah, ia akan menjadi pemula kepada perpecahan yang mampu merebak kepada UMNO secara keseluruhannya.

"Jika UMNO di Johor terjerumus dalam kancah pecah belah, UMNO di Malaysia secara langsungnya akan terjebak dan terheret ke kancah kesusutan pengaruh dan dukungan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, dekat sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

Berita Harian X