Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:23pm
ABDUL Rahman hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Kompleks Pekan Rabu, Kluang. - Foto Fahmi Mohd Yusof
ABDUL Rahman (tengah) dan Md Jais (empat dari kanan) bersalam dengan perwakilan ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Kompleks Pekan Rabu, Kluang. - Foto Fahmi Mohd Yusof

DAP parti bahaya - Rahman Dahlan

KLUANG: DAP bukan sahaja dilabel sebagai cauvinis tetapi menjadi pergerakan politik yang berbahaya dan mengadu domba sehingga menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata sudah tiba masanya beliau menggelarkan DAP sebagai parti yang berbahaya.

Katanya, kebanyakan pemimpin dalam parti itu hanya tahu membangkitkan persoalan dan menuduh pelbagai tohmahan serta dakwaan tidak berasas sehingga menimbulkan kebencian rakyat.

"Bagi saya DAP bukan lagi parti cauvinis, tetapi sudah tiba masanya ia digelar parti yang berbahaya, sebab apa... dia (DAP) menggalakkan kebencian, mengadu domba, tiada polisi dan dasar.

"Baru-baru ini, seorang pemimpin DAP tanya saya di Parlimen kenapa indeks rasuah naik di negara kita, saya jawab betul kerana Ketua Menteri mereka dan EXCO kerajaan Pulau Pinang terbabit dengan rasuah.

"Mesej yang saya cuba sampaikan ialah jangan nak tuduh orang, lihat dahulu diri sendiri. Kerajaan Pulau Pinang bukan maksum, dia pun ada dosa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Kompleks Pekan Rabu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Md Jais Sarday.

Abdul Rahman berkata, tiada satu negara di dunia yang terlepas daripada masalah dan bezanya, kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan terbaik menyelesaikannya, berbanding pembangkang.

"Memang wujud masalah dan rungutan rakyat terhadap beberapa perkara terutamanya cabaran ekonomi dan kelangsungan hidup, tetapi beza UMNO dan BN adalah kita cari jalan mahu selesaikannya," katanya.

Berita Harian X