Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:58pm
HISHAMMUDDIN bersama Musa bergambar dengan sebahagian perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Libaran, di Sandakan. - Foto oleh Poliana Ronnie Sidom

Pelbagai ujian kuatkan UMNO - Hishammuddin

SANDAKAN: Perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan ahli UMNO tidak datang bergolek, sebaliknya hasil pelbagai ujian yang dilalui parti sejak penubuhannya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketika UMNO baharu diasaskan, parti itu turut berdepan ujian apabila 'adik-beradik' dan rakan yang sudah lama berjuang terpaksa membuat pilihan sama ada memilih perjuangan parti atau mengikut pendirian masing-masing.

Katanya, ujian turut melanda UMNO Sabah, tahun lalu, apabila tindakan bekas menteri keluar parti menyebabkan ahli berada dalam persimpangan antara perjuangan parti dan darah kekeluargaan.

"Ketika UMNO baharu ditubuh, Datuk Onn (Onn Jaafar) terpaksa keluar parti dan ditolak sendiri oleh UMNO Johor tapi dia tak porak-porandakan negara, tak wujudkan politik kebencian, tak burukkan dan lagakan pemimpin.

"Di Sabah, kita lihat ujian yang berlaku setahun lalu secara positif menjadikan UMNO Sabah lebih matang, kukuh dan berpengalaman," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Libaran di Dewan Sri Libaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Zakaria Edris.

Hishammuddin berkata, beliau yakin ahli UMNO yang setia bersama parti hingga ke hari ini bukan disebabkan pemimpin, sebaliknya kerana perjuangan parti.

Berita Harian X