Isnin, 28 Ogos 2017 | 10:23pm
DATUK Seri Dr S. Subramaniam (dua, kiri) bersama Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pahang Datuk R. Goonasakaren (tiga, kiri) melancarkan perlindungan takaful berkelompok untuk anggota MIC negeri itu selepas merasmikan Konvensyen MIC Pahang ke-71 malam ini. Konvensyen pada kali ini tertumpu kepada persediaan jentera MIC bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.- Foto BERNAMA

MIC mahu tanding Parlimen Cameron Highlands, DUN Sabai

TEMERLOH: Komponen Barisan Nasional (BN), MIC, mahu kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Dr Subramaniam, mendakwa Parlimen Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC sejak dahulu dan bercadang meneruskannya, selain turut berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai dalam Parlimen Bentong.

Beliau mendakwa, jentera pilihan raya MIC juga sudah bergerak di Cameron Highlands dan DUN Sabai bagi memastikan kemenangan BN di situ.

"Kita sudah memaklumkan kepada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa ia (Cameron Highlands) kena dikekalkan sebagai kerusi MIC, walaupun ada parti lain yang berminat.

"Kita juga sudah jelaskan mengenai perkara ini di Pusat dan peringkat negeri. Saya ingat mereka semua sudah terima (keputusan ini)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen MIC Pahang Ke-71 di Dewan Tun Razak di sini, sebentar tadi.

Dr Subramaniam bagaimanapun mengakui parti itu masih belum memilih calon yang sesuai untuk bertanding di Parlimen Cameron Highlands, namun menegaskan bahawa penyelaras bagi gerak kerja sudah dilantik.

Mengenai persiapan MIC untuk PRU14, Dr Subramaniam berkata, parti itu sudah mengenal pasti dan sedang melakukan saringan calon yang sesuai untuk bertanding pada sembilan kerusi Parliman dan 19 kerusi DUN, sebelum nama mereka boleh diumumkan.

"Setakat ini, 50 hingga 60 peratus calon yang sedang dikenal pasti adalah muka baharu," katanya.

Selain itu, Dr Subramaniam juga berharap Kerajaan Pahang akan membantu kaum India dalam pembangunan sektor pertanian seperti dalam pemberian tanah dan bantuan barangan supaya mereka dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia, Pahang dicadang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian. MIC harap dapat bantuan khususnya bidang penternakan lembu tenusu kerana kaum India secara tradisi memang berpengalaman dan berharap boleh menyumbang dalam industri ini," katanya.

Berita Harian X