Selasa, 29 Ogos 2017 | 1:37pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Farizul Hafiz Awang
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pembangkang gagal lagakan pimpinan UMNO Johor

KLUANG: Cubaan pembangkang untuk melaga-laga dan memecah-belahkan kepimpinan UMNO Johor tidak berhasil sebaliknya disifatkan hanya membuang masa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan terdesak pembangkang itu disebabkan mereka rakus untuk merampas negeri ini daripada UMNO.

"Pembangkang memang sudah lama intai Johor dan mencuba pelbagai taktik termasuk melaga-lagakan kepimpinan UMNO Johor.

"Namun hingga kini ia tidak berhasil, malah hari ini saya ingin menegaskan hubungan saya dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Besar Johor amat baik dan erat.

"Jika ada apa-apa berlaku sekali pun kami akan tahu dahulu dan sentiasa berbincang untuk memastikan tiada masalah berlaku dan UMNO terus utuh di Johor.

"Pembangkang cuba menimbulkan fitnah kononnya hubungan saya dan pemimpin UMNO Johor terutama Mohamed Khaled tidak baik.

"Namun hakikatnya ia bukan sahaja tidak berjaya memporak perandakan kami malah membuatkan (lebih) fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian geran hak milik tanah kepada 607 peneroka FELDA Ulu Penggeli Peringkat 1 & 2 serta penduduk Kampung Seri Cahaya dan Kampung Iham di Dewan Semai Bakti, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Berita Harian X