Rabu, 30 Ogos 2017 | 5:25pm
Tan Sri Annuar Musa.- Foto NSTP
Tan Sri Annuar Musa.- Foto NSTP

UMNO sedia kerjasama dengan PAS 

KUALA TERENGGANU: UMNO sedia bekerjasama dengan PAS demi kebaikan rakyat, selepas parti itu kini bersendirian apabila memutuskan hubungan dengan pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerjasama itu bagaimanapun tidak memerlukan PAS dan UMNO bergabung sebagai parti politik, sebaliknya lebih atas dasar permuafakatan untuk kebaikan dan perpaduan masyarakat Islam negara ini.

Beliau berkata, PAS tidak perlu menyertai UMNO, tetapi apa yang penting kedua-dua parti perlu bekerjasama mencari formula terbaik demi kebaikan kedua belah pihak.

"Jika PAS bersama UMNO, parti itu secara automatik akan bersama 13 parti lain dalam Barisan Nasional (BN) dan perlu menjunjung dasar perjuangan serta menggunakan logo parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Pucuk pimpinan UMNO Pusat tidak pernah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PAS, malah berpendirian untuk bekerjasama dengan parti itu terutama dalam isu yang membawa kebaikan kepada rakyat," katanya di sini, semalam, selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Penerangan dan pemimpin UMNO negeri.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengulas keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan dan akan bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen termasuk yang diwakili calon parti Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu secara rasmi sudah tiada apa-apa hubungan dengan Pakatan Harapan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam menerusi laman Facebook menyatakan pendirian tidak bekerjasama dengan PAS pada PRU14.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan PAS akan menuntut kerusi pada PRU akan datang, Annuar berkata, Ahli Majlis Tertinggi (MT) sudah memberi mandat penuh kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk berunding dengan pucuk pimpinan tertinggi PAS.

Katanya, UMNO diwujudkan untuk kepentingan negara serta rakyat dan apa sahaja yang mampu membawa kebaikan kepada politik dan kesejahteraan negara, pucuk pimpinan parti sentiasa membuka pintu rundingan seluasnya.

Berita Harian X