Isnin, 25 September 2017 | 12:51pm
SAIFUL Lizan (kiri) hadir membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, hari ini. - Foto Danial Saad

PAS Pulau Pinang lapor SPRM

GEORGETOWN: PAS Pulau Pinang hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan ke atas Kerajaan DAP Pulau Pinang dibuat berhubung isu alam sekitar dan banjir yang semakin kerap.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS negeri, Saiful Lizan Mohd Yusoff, berkata laporan itu dibuat selaras dengan penubuhan Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) yang ditubuhkan SPRM, April lalu.

Beliau berkata, PAS memandang serius isu berkaitan alam sekitar dan banjir di negeri ini dan menggesa siasatan berhubung perkara berkenaan dijalankan.

"SPRM menerusi penubuhan EPACC membuka pintu kepada rakyat untuk membuat laporan berhubung isu alam sekitar bagi mengheret pihak yang terbabit ke muka pengadilan.

"Kita serahkan laporan mengenai status banjir yang berlaku di negeri ini kepada SPRM supaya siasatan boleh dijalankan dan mengingatkan kerajaan negeri supaya memandang serius isu berkaitan alam sekitar terutama yang boleh mengakibatkan bencana," katanya ketika ditemui di selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

Sebelum ini, PAS negeri mendakwa tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang gagal mengawal penggondolan bukit dan merangka pelan pembangunan kawasan lereng menjadi punca banjir kilat kerap melanda negeri ini.

Pengerusi PAS Tanjong, Yacoob Osman dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri dianggap penyebab penduduk yang menetap di kawasan rendah terjejas akibat masalah banjir kilat yang melanda kebelakangan ini.

"Kerajaan negeri perlu tanggung segala kerugian harta benda penduduk yang rosak kerana faktor terjadinya banjir kilat ini berpunca dari kerajaan negeri yang gagal merangka pembangunan dengan terancang," katanya.

2247 dibaca
Berita Harian X