Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:47pm
PENGERUSI Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan (duduk tengah) bergambar bersama semua pemenang selepas menjalani Bengkel Teknikal Maya anjuran Jaringan Biro IT Umno Malaysia di Hotel Permai, Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Banyakkan berita kebaikan, elak laporan fitnah

KUALA TERENGGANU: Jentera perang siber Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menyebar fitnah seperti mana dilakukan jentera pembangkang, semata-mata untuk meraih kepercayaan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata apa yang lebih baik ialah memperbanyakkan laporan mengenai kegiatan pemimpin dan parti yang dilakukan demi kepentingan rakyat di setiap peringkat.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Teknologi Maklumat UMNO berkata, banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan terutama berkaitan kejayaan pemimpin parti dan pembangunan negara yang semakin maju.

"Saya yakin Jentera perang siber BN mempunyai banyak modal kerana setiap hari pelbagai program dan aktiviti yang dirangka kerajaan untuk kebaikan rakyat, berbanding pembangkang yang kini semakin kehabisan modal.

"Pembangkang tiada program dan aktiviti turun padang seperti dilakukan pemimpin kita, sebab itu mereka mencari jalan memfitnah kita dengan apa cara sekalipun bagi mengaburi mata rakyat," katanya selepas Program Bengkel Teknikal Maya peringkat negeri di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jentera siber BN juga perlu lebih agresif menangani fitnah ditabur pembangkang, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, yang semakin hampir.

"Kalau kita lihat, apa saja yang kerajaan buat akan dijadikan bahan fitnah oleh pembangkang. Itu menandakan pembangkang sudah sedia maklum PRU semakin dekat, jadi kerja mereka hanyalah menyebar fitnah," katanya.

Ahmad Maslan berkata, apa yang dilaporkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris dua hari lalu yang mendedahkan pengguna Facebook yang menyokong BN dan UMNO dua kali ganda lebih ramai berbanding penyokong pembangkang, boleh dijadikan indikator UMNO dan BN semakin kuat kalangan generasi muda.

"Laporan sebegini adalah perkara menarik kerana ia dibuat oleh pihak ketiga dan ia tidak ada kaitan dengan parti politik di mana kajiannya membabitkan pengguna Facebook mengenai sokongan terhadap UMNO dan pembangkang," katanya.

206 dibaca
Berita Harian X