Rabu, 25 Oktober 2017 | 4:29pm
Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kiri) dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan menunjukkan buku Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 ketika pembentangan Bajet 2018 Pakatan Harapan di bangunan Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin

Teruskan pelaburan dengan China - Pembangkang

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang akan meneruskan projek pelaburan dengan China, walaupun sebelum ini mengkritik dan membantah inisiatif itu.

Menurut laporan Belanjawan Alternatif 2018 pembangkang, mereka akan menghormati perjanjian yang telah ditandatangani bagi pihak Malaysia, biarpun risau terhadap perkembangan China ke atas elemen keselamatan kebangsaan yang sensitif seperti bekalan tenaga dan pelabuhan.

Katanya, pakatan pembangkang juga mengakui bahawa China adalah rakan dagang nombor satu Malaysia dan pengguna komoditi terbesar negara.

Malah, mereka mengakui kedua-dua negara mempunyai hubungan komersial yang lama dan ia memanfaatkan kedua-dua pihak.

"Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, tindakan pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak berkaitan.

"Jika perlu, kita akan mendapatkan kerjasama China untuk merundingkan semula syarat yang tidak adil... jika ada," katanya.

Pembangkang sebelum ini pernah mengkritik tindakan kerajaan yang memeterai perjanjian pelaburan dengan negara republik itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada akhir tahun lalu memberi amaran bahawa perjanjian dimeterai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan China, membabitkan nilai pelaburan RM144 bilion mungkin menggugat kedaulatan Malaysia.

Pelaburan itu juga didakwa akan mempengaruhi pendirian tuntutan Malaysia mengenai pertikaian Laut China Selatan, yang turut dikemukakan China.

2275 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »