Jumaat, 17 November 2017 | 3:08pm
SETIAUSAHA Agung PBS, Datuk Johnny Mositun. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kongres PBS kukuhkan parti

KOTA KINABALU: Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-32 esok, iatu yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), memberi penekanan untuk memperkukuhkan parti dan ahlinya.

Kongres itu yang akan dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak di Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan di sini, turut memberi penekanan kepada ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi untuk terus menguatkan sokongan kepada parti berusia 32 tahun itu.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun, berkata kongres selama tiga hari itu juga menjadi medan buat kepemimpinan parti berkenaan memperbaharui semangat dan menghayati semula perjuangan parti dalam kalangan ahlinya.

"Kongres terakhir sebelum pilihan raya ini amat besar maknanya kepada PBS. Kita nampak perlu ada sokongan daripada semua ahli dan pemimpin parti.

"Saya percaya kehadiran Perdana Menteri untuk merasmikan kongres PBS kali ini mampu menambah semangat ahli sekali gus memberi pencerahan bahawa kerajaan BN yang ada sekarang bekerja dan memenuhi keperluan rakyat.

"Najib ialah Perdana Menteri terbaik dan membawa banyak pembangunan kepada Sabah, selain Perdana Menteri untuk semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Kehadiran beliau dalam kongres terakhir sebelum PRU-14 akan mampu memantapkan lagi parti ini," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

PBS yang ditubuhkan pada 1985, kini mempunyai kira-kira 130,000 ahli di negeri ini dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi presiden parti sejak ditubuhkan.

Selain merasmikan Kongres PBS, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke Sabah esok dijadual melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Pakej 6 di Padang Majlis Daerah Putatan pada jam 2 petang.

Perdana Menteri turut dijadual meninjau projek Pan Borneo Pakej 5 di Jambatan Simpudu, Papar pada jam 4.30 petang, diikuti lawatan ke sekolah daif, iaitu projek membina baharu bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanaki, Papar.

280 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »