Sabtu, 18 November 2017 | 6:47pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hadir pada Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Packej Kerja 6 Membina Jalan Dari Putatan ke Inanam, di Putatan. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. - Foto Izhari Ariffin

Pembangkang hanya tahu 'membuyuk'

PUTATAN: Pemimpin pembangkang hanya pandai 'membuyuk' atau bercakap bohong kepada rakyat Sabah, semata-mata untuk kepentingan politik mereka, kata Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman

Beliau berkata, ini berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bersikap realistik, sentiasa bekerja dan menepati janji demi kepentingan rakyat negeri ini.

Musa memberi contoh Projek Lebuhraya Pan Borneo mendapat perhatian Perdana Menteri bermula sejak pelancarannya pada tahun lalu hingga ke peringkat pelaksanaan.

"Bukti yang nyata dapat kita saksikan di kawasan yang sudah dilancarkan beberapa pakej lebuh raya ini, kerja pembinaan sedang rancak dijalankan.

"Beliau bukan seorang pemimpin yang retorik dan pandai berjanji, seperti pemimpin pembangkang yang hanya pandai 'membuyuk' dan membohong," katanya pada majlis pelancaran Pakej Putatan-Inanam lebuh raya itu, di sini, hari ini.

Pelancaran pakej keenam Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM900 juta yang membabitkan jarak sepanjang 19.6 kilometer itu disempurnakan Perdana Menteri.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sementara itu, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, peruntukan besar sebanyak RM6.8 bilion untuk Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, membuktikan kesungguhan kerajaan Pusat membela rakyat kedua-dua negeri.

Katanya, peruntukan itu termasuk RM1 bilion untuk membaiki sekolah daif, selain RM2 bilion untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan pelbagai projek pembangunan luar infrastruktur bernilai ratusan juta sangat penting untuk rakyat.

Berita Harian X