Ahad, 26 November 2017 | 8:47pm
TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) , Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerima borang keahlian penyertaan ADUN Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah ke dalam parti PPBM pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, Stargate. - Foto Amran Hamid

Amiruddin tinggalkan PAS, plih PPBM

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, hari ini mengesahkan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sekali gus meninggalkan PAS, yang disertainya sejak 1999.

Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, mengesahkan penyertaannya selepas menyerahkan borang keahlian parti kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di Pejabat PPBM,di Stargate, dekat sini, petang tadi.

Penghijrahan Amiruddin itu sekali gus mengesahkan khabar angin mengenai kecenderungan beliau yang dikatakan tidak lagi bersama PAS, terutama selepas memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kuala Kedah pada Mei 2016.

Amiruddin berkata, keputusannya untuk menyertai PPBM yang juga satu komponen pakatan pembangkang berikutan mendapat mesej daripada kepimpinan tertinggi PAS negeri bahawa mustahil bagi parti itu untuk bersama-sama dengan pakatan terbabit.

"Saya ada membuat kunjungan hormat dengan Pesuruhjaya PAS (Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi).. kot saya boleh dapat jaminan adakah sinar harapan untuk PAS bersama pakatan pembangkang.

"Oleh kerana saya dapat maklum balas ia hampir mustahil berlaku, saya membuat keputusan untuk bersama PPBM. Saya membuat keputusan ini dalam sedar dan berasa ia keputusan terbaik.

"Di Malaysia ini, kita memerlukan kesepakatan parti politik yang berlatar bangsa untuk memberi tentangan lebih baik terhadap kerajaan kini," katanya pada sidang media pengumuman penyertaannya dalam PPBM.

Amiruddin sebelum ini dilabel antara wakil rakyat PAS dalam kategori 'harumanis' bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfiz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, berikutan pendirian mereka yang dilihat cenderung ke arah menyertai pakatan pembangkang.

Amiruddin pada masa sama mengakui, tindakan PAS untuk bertanding sendirian melawan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan pendekatan yang bijak.

"Ia memerlukan satu pakatan yang kuat untuk berbuat demikian," katanya.

Mengenai kedudukan beliau dalam PAS, Amiruddin berkata, keahliannya dalam parti itu secara automatik terbatal selepas sah menyertai PPBM, begitu juga dengan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah.

Beliau juga menjelaskan tidak terikat dengan mana-mana baiah dalam parti PAS, sekali gus membolehkannya keluar meninggalkan parti itu.

"Dalam komposisi pembangkang di Kedah, PAS mempunyai kerusi paling banyak dan mereka akan membuat keputusan mengenainya.

"Saya berasakan amat wajar untuk saya tidak meneruskan fungsi sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah," katanya.

Amiruddin. 55, menyertai PAS pada 1999 dan menjadi ADUN Anak Bukit sejak 2002 melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dan mengekalkannya selama tiga penggal.

Berita Harian X