Rabu, 6 Disember 2017 | 6:35pm
AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyampaikan ucapan sebagai wakil MT ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

Wanita perlu terus 'berleter' - Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim, mahu Wanita UMNO terus 'berleter' bagi memastikan tuntutan pergerakan itu, termasuk dalam isu kuota calon 30 peratus wanita bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tercapai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar berkata, jika Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berputus asa dalam mengemukakan tuntutan kepada pucuk kepemimpinan, perjuangan pergerakan itu akan menjadi sia-sia.

"Isu 30 peratus bukan bermula dari tahun ini, tetapi sudah dibangkitkan bertahun-tahun, jika dia putus atas dalam berleter, sudah tentu tidak akan dapat apa yang dihajatkan sedangkan apa yang dituntut itu adalah benda baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai wakil MT ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2017. Dua lagi wakil MT yang hadir ialah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Kuota 30 peratus yang diperjuangkan Wanita UMNO bukan hanya membabitkan calon wanita pada PRU, tetapi juga bagi mengisi jawatan pembuat keputusan dan dasar kerajaan.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jika ada yang menganggap leteran sebagai perkara negatif, beliau mahu ia dilihat sebagai sikap yang mampu melahirkan individu yang berjasa pada agama, bangsa dan negara.

"Jika kita lihat leteran satu perkara negatif, maka tidak lahirlah seorang doktor, pilot (juruterbang), sebenarnya yang berleter lagi penat kerana bercakap perkara sama.

"Anak-anak fikir leteran satu perkara yang membebankan, sebab tu dalam cerita Anakku Sazali, Sazali menjadi anak manja yang rosak kerana bapanya tidak berleter.

"Leteran yang melahirkan insan yang berguna, puan-puan jangan putus asa, teruskan berleter," katanya yang mengundang gelak ketawa perwakilan.

Sementara itu, Razali mahu perwakilan Wanita UMNO mencontohi sikap Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengeluh dan menyalahkan orang lain jika berlaku perkara yang tidak menyebelahi kerajaan dan kepemimpinannya, sebaliknya terus melipat gandakan usaha.

"Waktu 2008 berlaku tsunami pertama yang turut menyaksikan peralihan kepemimpinan, dalam ucapan beliau (Najib), beliau meminta maaf kepada rakyat. Bukan menyalahkan rakyat tidak mengundi Barisan Nasional (BN), sebaliknya meminta maaf dan melancarkan pelbagai program transformasi.

"Tidak terbayang kita kena tsunami kedua (PRU-13), namun Perdana Menteri tetap tidak menyalahkan rakyat yang tidak mengundi BN, sebaliknya beliau bertanya, apa lagi yang rakyat mahukan, apa lagi orang Cina mahukan.

"Kalau Malaysia nak berjaya, jangan pilih pemimpin yang asyik salahkan orang sebaliknya pilih pemimpin yang tahu mencari jalan penyelesaian," katanya.

Berita Harian X