Khamis, 7 Disember 2017 | 2:32pm

Pegang erat amanat Presiden UMNO - Zahid

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak supaya ahli UMNO bersatu dan mengenepikan masalah dalaman harus dipegang erat oleh semua ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata, jika kepemimpinan dan parti patuh kepada pesanan itu, Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), termasuk memperoleh majoriti dua pertiga.

"Jika kedua-dua elemen itu diperkasakan sepenuhnya, ditambah dengan dokongan dari parti komponen serta mengetuk hati dan minda mereka yang berada dalam kalangan pengundi atas pagar, insya Allah harapan Perdana Menteri dapat diterjemahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sejak mengambil alih kepemimpinan UMNO pada 26 Mac 2009, Najib berjaya menggarap penyatuan ahli UMNO di semua peringkat dan melaksanakan transformasi yang dijanjikan dalam parti serta kerajaan.

"Presiden juga menyebut mengenai tindakan pantas yang harus kita lakukan iaitu bergerak sebagai satu pasukan dengan penuh keyakinan dan pantas, bertempur di alam siber dan kita harus bertaruh dalam perjuangan ini dengan penuh tawakal serta keimanan.

"Beliau ingatkan jika BN kecundang, 'harga' yang harus dibayar adalah mahal. Selepas ini, saya akan terus menggerakkan jentera parti bersama jentera perhubungan negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) (bagi menghadapi PRU-14)," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Presiden mengiktiraf perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini sebagai yang setia kepada parti.

"Beliau juga mengingatkan jika kita mahu momentum ini dibawa ke peringkat bahagian dan cawangan, kita perlu memastikan kita bertanggungjawab melihat anak buah, jentera dan persiapan kita dapat diterjemahkan di peringkat PDM.

"Jangan kita bercakaran dan bersengketa sesama kita," katanya.

143 dibaca
DATUK Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir bagi merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X