Khamis, 7 Disember 2017 | 5:59pm
Foto hiasan

WA, Telegram platform dekati pengundi

KUALA LUMPUR: UMNO yakin platform Whatsapp (WA) dan Telegram adalah perantara media sosial terbaik mendekati pengundi dan menyebarkan kempen digital kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata platform berkenaan paling banyak dan berkesan untuk digunakan sebagai saluran kempen digital kerana maklumat mudah disampaikan kepada rakyat.

"UMNO dan BN perlu menggandakan usaha menggunakan kempen digital yang lebih kreatif untuk memerangi perang persepsi pada pilihan raya akan datang.

"Sebagai contoh, saya sendiri ada 120 kumpulan WA. Melihat kepada ini, dulu kita ambil masa seminggu untuk dapat berita tetapi hari ini, melalui kumpulan WA itu, benda yang berlaku sejam atau dua jam sudah tersebar dan boleh diolah unit IT (teknologi maklumat).

"Kita sudah menyiapkan maklumat dalam bentuk infografik untuk menjawab isu yang disebarkan. Jadi kita kena kuasai media sosial," katanya.

Beliau bercakap pada Program Bual Bicara Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) bertajuk 'PRU14: Medan Perang Siber' dikendalikan Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH, Kadir Dikoh.

Abdul Rahman berkata, UMNO perlu konsisten menjawab fitnah dunia maya menggunakan pendekatan menarik.

Sebagai contoh, katanya, kenyataan menteri mengenai dasar kerajaan mudah tular dan difitnah pihak tertentu kerana mereka perlukan masa panjang untuk menerangkan sesuatu isu.

"Itu sebabnya kita perlu konsisten. Rakyat akan hargai cerita yang benar daripada terjebak penipuan sama berulang kali. Akhirnya, kita tidak akan percaya berita itu dan akan cari sumber dipercayai.

"Saya belajar daripada kesilapan lalu hinggakan 3,000 warga Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi menjadi tular pada PRU 2013. Kita ambil nasihat Perdana Menteri satu daripada penentu kemenangan BN adalah media sosial.

"Strategi kita kali ini adalah menyediakan kenyataan atau infografik yang faktanya boleh dirujuk pembaca," katanya.

70 dibaca
Berita Harian X