Khamis, 7 Disember 2017 | 7:02pm

Solat Jumaat di Dewan Tun Razak 1, 2

KUALA LUMPUR: Dewan Tun Razak 1 dan 2 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, akan digunakan sebagai lokasi solat Jumaat, esok, berikutan pertambahan jemaah sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Imam PWTC, Mohammad Hanafi Mahazir, berkata pihaknya menjangkakan 7,000 orang menunaikan solat solat di dewan itu.

Katanya, sejak Surau Ar-Rahman yang bertempat di Aras Tiga Menara Dato' Onn, PWTC didaftarkan sebagai surau solat Jumaat beberapa tahun lalu, bilangan jemaah bertambah khususnya pada PAU.

"Disebabkan pertambahan jemaah kita beberapa kali menukar lokasi solat Jumaat. Jika dulu solat Jumaat ketika PAU sering diadakan di Dewan Tun Razak 4.

"Memandangkan lokasi itu kini digunakan sebagai Laman Media dan juga faktor pertambahan jemaah, ia ditukar ke Dewan Tun Razak 1 dan 2," katanya ketika dihubungi.

Mohammad Hanafi yang mempunyai empat tahun pengalaman menguruskan jemaah sepanjang PAU, berkata pelbagai faktor diambil kira supaya orang ramai dapat solat dalam keadaan selesa.

"Tekanannya adalah untuk menyediakan ruang yang besar dan selesa serta bilik wuduk untuk jemaah," katanya.

"Setiap kali PAU, kita menjemput iman khas dan esok, guru agama dari Kelana Jaya, Ustaz Sukri Mohamad akan mengimamkan solat Jumaat," katanya.

146 dibaca
Berita Harian X