Khamis, 7 Disember 2017 | 7:05pm
TIMBALAN Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban ketika membahaskan usul sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Kisah ayam lambang kehebatan UMNO Sabah

KUALA LUMPUR: Wakil Sabah, Datuk Ramlee Marahaban membuka 'gelanggang' perbahasan dengan kisah kehebatan ayam Texas yang popular di negeri itu kerana sentiasa menang sabung dan digeruni semua lawan.

Memiliki sifat berani dengan susuk tubuh yang 'sado', semangat juang tinggi dan kental membolehkan ia menundukkan semua lawan dengan mudah untuk menang dalam setiap pertaruhan.

Paling digeruni setiap gerak tempur ayam berkenaan sentiasa menepati sasaran tetapi jarang sekali melakukan pukulan curi.

Ramlee menggunakan kisah ayam berkenaan untuk menggambarkan kehebatan UMNO Sabah di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Tan Sri Musa Aman dan kesediaan negeri itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Memang sudah terbukti pun kita biasa bersabung ibarat ayam Texas ini yang biasa menang bersabung.

"Minta maaf bukan sekadar merendah-rendahkan, kalau sekadar ayam kampung atau ayam hutan hata ayam serama yang mahu melawan, kita boleh bungkus.

"Bukan sebarang ayam, tajinya pun bukan alang-alang kalau nak kira stamina tidak kira dari jarak jauh mahu pun dekat.

"Jadi ayam kampung atau ayam serama faham-faham sajalah, cuma jaga kecantikan bimbang bulunya nanti dicarik-carik," katanya penuh semangat, disambut tepuk sorak perwakilan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini, hari ini.

Ramlee menegaskan UMNO Sabah bukan bercakap besar mendabik dada selepas kejayaan cemerlang yang ditunjukkan dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, tetapi yakin mampu mengulangi kejayaan yang sama dalam PRU-14 tidak lama lagi.

384 dibaca
Berita Harian X