Sabtu, 9 Disember 2017 | 5:42pm
NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto BERNAMA

UMNO tidak amal 'power centric'

KUALA LUMPUR: UMNO tidak lagi mengamalkan 'power centric' (pemusatan kuasa individu) seperti diamalkan pemimpin terdahulu sebaliknya parti diterajui Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan secara kolektif dan bermusyawarah.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata zaman autoritarian sudah berakhir dan tiada dalam kepemimpinan hari ini.

"Dahulu, ahli akar umbi gentar bersuara kerana bimbang dengan tindak balas politik. Hari ini, 'tembok pemisah' sudah tidak ada dalam UMNO.

"Tiada lagi sebarang jurang yang di atas dan di bawah. Demokrasi dalam UMNO kian mekar dan segar di bawah kepemimpinan Presiden yang kita sayangi," katanya yang mendapat sorakan gemuruh perwakilan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Presiden parti sentiasa mengingatkan ahli supaya bergerak sebagai satu pasukan, penuh keyakinan dan sentiasa berupaya untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tidak mahu ada rajuk dan tersentap hati. Berilah sokongan padu kepada kepada sesiapa saja yang terpilih sebagai calon. Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik.

"Dalam konteks ini, saya tidak pasti adakah pemimpin yang 'dahulu itu' bermula sebagai pengikut yang baik? Sejarah tidak pernah berbohong, saya tahu dan saya yakin semua yang dalam dewan ini tahu apa yang pernah dilakukan olehnya sebelum ini, kepada pemimpin-pemimpinnya," katanya.

96 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »