Ahad, 31 Disember 2017 | 2:39pm
SOHAIMI (tengah) bersama Abdul Shukur (kanan) menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kundang bagi program 'Back 2 School' peringkat Selayang, hari ini.

Perjuangan Tun M, PPBM hanya kerana dendam

SELAYANG: Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus berkuasa terserlah apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menuntut jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata Dr Mahathir tidak boleh menafikan bahawa perjuangannya sebelum ini hanya kerana dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain untuk terus kekal berkuasa.

Perhimpunan Agung PPBM yang julung kali diadakan semalam juga, katanya, jelas tidak mengangkat perjuangan rakyat melainkan memenuhi agenda serta tuntutan individu tertentu untuk kembali berada di tampuk kuasa.

"Jelas (PPBM) tiada agenda rakyat. Sebelum ini bermacam-macam fitnah, tohmahan, tuduhan dilemparkan terhadap Perdana Menteri. (Datuk Seri) Najib dituduh dengan bermacam tuduhan.

"Akhirnya semua tahu tuduhan itu dibuat kerana ingin memburukkan imej Perdana Menteri disebabkan Dr Mahathir masih lagi mahu berkuasa. Selama lebih 22 tahun mentadbir negara, beliau belum puas dan seolah-olah mahu menjadikan Malaysia miliknya.

"Saya kira hasrat PPBM (menuntut jawatan Perdana Menteri) yang disuarakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden PPBM) membuka mata rakyat, bahawa sebelum ini Dr Mahathir gagal untuk menguasai Najib di belakang, menyebabkan beliau terpaksa menyerang Perdana Menteri.

"Apakah sudah tiada individu lain yang layak dalam PH untuk diangkat sebagai calon sehingga terpaksa mengguna calon kitar semula," katanya hari ini.

Sohaimi sebelum itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kundang bagi program 'Back 2 School' peringkat Selayang.

Program anjuran bersama Biro Kempen Daftar Pemilih dan Keahlian UMNO (KDP), Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Canggih dan UMNO Bahagian Selayang itu membabitkan 1,303 pelajar dari kawasan Parlimen Selayang.

Sementara itu, Sohaimi mempersoalkan apakah sekutu PPBM, khususnya DAP dan PKR boleh menerima Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pakatan itu.

"Masa Tan Sri Muhammad Mohd Taib (bekas Menteri Besar Selangor) umum kembali pada UMNO, pembangkang gelar beliau sebagai surat khabar lama. Kalau Dr Mahathir diangkat sebagai calon Perdana Menteri, apakah beliau bukan surat khabar lama.

"Saya kira Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) ada jawapannya," katanya.

793 dibaca
Berita Harian X