Ahad, 31 Disember 2017 | 3:39pm

Mufti 'diikat' pada era Tun M

KUALA LUMPUR: Mufti pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa bersikap berdiam diri dalam isu 'Amanat Haji Hadi' yang didakwa menjadi punca tragedi Memali berikutan campur tangan politik dalam pengurusan pentadbiran negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata golongan agamawan bertindak demikian ketika itu berikutan tiada pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman dalam sistem pemerintahan demokrasi era pentadbiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Katanya, campur tangan politik dalam pengurusan pentadbiran bukan hanya menyebabkan mufti mengambil sikap berdiam diri yang difikirkan satu pendekatan lebih sesuai ketika itu, malah berlaku pemecatan hakim selain Ketua Polis Negara tidak boleh bertindak dengan cara yang tepat.

"Tun M adalah pakar perubatan, bukan ahli hukum syarak, kerana ia (Amanat Haji Hadi) berkait dengan hukum syarak. Dia tidak boleh memaksa orang yang ahli dalam ilmu hukum syarak untuk memberikan fatwa mengikut kemahuan dia.

"Saya rasa mufti ambil sikap yang begitu (diam diri) pada zaman itu... zaman yang tidak ada pemisahan kuasa, sepatutnya dalam sistem pemerintahan demokrasi, berlaku sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.

"Apa yang berlaku ialah campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran, itu berlaku menyebabkan hakim kena pecat. Ketua Polis Negara tidak boleh bertindak dengan cara yang tepat, mufti pun hendak dipaksa.. daripada mereka bercakap mereka jadi diam ketika itu, itu lebih selamat, itu suasana pada masa itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penambahan Ahli PAS 'PAS Pilihanku 2.0' di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata mufti sepatutnya menegur amanat yang dikeluarkan Abdul Hadi pada 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata Dr Mahathir bertanggungjawab membatalkan debat dalam isu Amanat Haji Hadi pada saat akhir, selain menempelak tindakan pihak tertentu yang tidak meneliti secara penuh ucapannya selama lebih satu jam dalam isu berkenaan .

"PAS ajak muzakarah, bukan debat, muzakarah berbincang secara ilmu. Malangnya, Tun M tak tahu bahasa Arab, saya tak tahu bahasa Inggeris, susahlah , sama-sama tak kena 'line', jadi dia ajak berdebat, bila sampai masa debat, dia tetapkan tarikh (tetapi batalkan) terpaksa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, yang tukang isytihar hari raya dan puasa mengisytiharkan debat dibatalkan," katanya.

Diminta mengulas permohonan maaf Dr Mahathir, semalam, Abdul Hadi berkata tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dibuat mengikut adat Melayu, bukannya secara Islam.

"Saya dengar sedikit dalam TV, dia minta maaf ikut adat Melayu, sedangkan maaf ni bukan adat Melayu, maaf ini adalah satu konsep daie Islam... kita faham la, maaf orang Melayu macam mana.

"Adakah ia selari dengan konsep Islam atau tidak dan saya dengar ada kenyataan lain pula selepas itu, (permohonan maaf dibuat) bukan bermakna mengaku salah, dia hanya minta maaf saja," katanya.

Ditanya adakah PAS menerima permohonan maaf Dr Mahathir, beliau berkata, PAS tidak pernah berdendam melalui kuasa pemerintahan ketika diberi peluang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Ini menandakan kita maaf secara praktikal, bukan hanya sekadar bercakap saja," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai PH terus bercakaran dalam isu calon Perdana Menteri, Abdul Hadi secara sinis berkata, terpulang kepada mereka sama ada hendak menjadi Perdana Menteri atau Raja.

"(Sama ada Dr Mahathir layak menjadi Perdana Menteri sementara), itu rakyat yang akan menentukannya.

"PAS ada pendekatan sendiri yang diajar oleh Islam, kita tidak minta jawatan, kita minta perubahan, masalah siapa menjadi nakhoda, kita akan tentukan bila tiba masanya," katanya.

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tiga dari kiri) melancarkan Kempen Penambahan Ahli PAS 'PAS Pilihanku 2.0' di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X