Sabtu, 27 Januari 2018 | 6:55pm
KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tengah) menyertai acara jualan pada Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Kota Bharu, hari ini. - Foto Nor Amalina Alias

'Ada kejutan buat pembangkang'

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) sudah merangka manifesto yang bakal mengejutkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata manifesto itu lebih dinamik, terkehadapan dan mendengar suara rakyat, selain bersiap siaga menghadapi cabaran 30 tahun akan datang.

"Kita yakin pembangkang akan terkejut kerana selama ini mereka mendakwa kita degil dan tidak mendengar kata rakyat.

"Manifesto ini sudah di peringkat penggubalan terakhir berdasarkan suara rakyat, bukan manifesto mikro saja tetapi membabitkan aspirasi rakyat di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Mohd Azam Ismail dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak.

Annuar berkata, BN peka terhadap kehendak rakyat dan lebih responsif untuk jangka panjang demi pembangunan negara.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak menyalahgunakan pilihan raya akan datang sebagai cara membalas dendam, sebaliknya bersama kerajaan membentuk rakyat menghadapi pasca 2020.

"Saya yakin rakyat kini sudah cerdik dan bermaklumat untuk membuat penilaian pemimpin sebenar yang mampu mengemudi negara," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X