Ahad, 28 Januari 2018 | 9:00pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli

'Tiada kerajaan campuran BN-PAS'

KUALA LUMPUR: PAS akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas platform gabungan dipeloporinya iaitu Gagasan Sejahtera.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Gagasan Sejahtera sudah bersedia berdepan tentangan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) di kawasan bakal ditandingi.

Ketetapan itu, katanya, menepis kenyataan dari luar atau dalam parti kononnya bakal wujud kerajaan campuran antara PAS dengan BN.

"Pandangan atau ulasan itu hanya bersifat peribadi dan andaian semata-mata, tidak langsung mewakili pendirian PAS atau Gagasan Sejahtera.

"PAS mengesahkan tiada perbincangan atau keputusan mana-mana peringkat parti untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan BN atau Pakatan Harapan dalam konteks PRU-14, sama ada sebelum mahu pun selepas PRU-14.

"PAS mengekalkan amalan dan budayanya dalam membuat keputusan penting, termasuk isu tahaluf siyasi dengan mana-mana pihak secara demokratik dengan mendapatkan persetujuan ahli terlebih dulu.

"Ia dilakukan dalam muktamar khas sebelum disahkan oleh Majlis Syura Ulama dari sudut kepatuhan syarak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gagasan yang menjadi alternatif kuasa politik ketiga kepada BN dan PH terbentuk selepas PAS memutuskan hubungan politik dengan PKR pada 11 Mei 2017.

Pembentukan Gagasan Sejahtera memperlihatkan gabungan beberapa parti politik tanah air seperti PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Kongres Rakyat serta pertubuhan yang mahu mewujudkan negara sejahtera.

Dalam menghadapi PRU-14, Takiyuddin berkata, PAS berpandangan rakyat tidak seharusnya dihadkan dengan pilihan antara BN dan PH tanpa mengira aspek benar atau tidak kedua-duanya.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, rakyat perlu diberi hak membuat pilihan lain tanpa perlu dipaksa.

Berita Harian X