Selasa, 30 Januari 2018 | 8:17pm
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail, (tengah) beramah mesra bersama orang ramai sambil ditemani Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, (lima dari kiri) dan Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, (empat dari kiri) selepas Majlis Perasmian Penutupan Roadshow Integriti Peringkat Negeri Perlis di Dewan Harumanis, Pusat Koreksional (JABATAN PENJARA PERLIS), Padang Besar. - Foto Azhar Ramli

INTEGRITI sedia bekerjasama dengan parti politik

PADANG BESAR: Semua parti politik di negara ini khususnya yang bakal bertanding pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) disaran menjalin kerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata ia sebagai usaha meningkatkan nilai integriti dalam kalangan ahli politik.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai program yang menyediakan modul khusus untuk pemimpin parti politik.

"Kita sentiasa terbuka dengan semua parti politik, baik Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, malah sentiasa bersedia memberikan pandangan serta nasihat kepada mereka dalam soal berkaitan integriti.

"Budaya integriti perlu ada pada setiap ahli politik kerana mereka bakal memimpin masyarakat. INTEGRITI tidak pilih kasih untuk jalin kerjasama, baik dengan parti kerajaan atau pembangkang," katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara INTEGRITI dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Dewan Harumanis, Pusat Koreksional Perlis, di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor KUIPs, turut berangkat menyaksikan pertukaran dokumen memorandum di antara Anis Yusal dan Rektor KUIPs, Dr Mohd Mizan Mohd Aslam.

Anis Yusal mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN sedang melakukan tapisan atau ujian integriti terhadap calonnya yang bakal bertanding PRU-14.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam mewujudkan budaya integriti dalam kalangan parti politik kerana ia selaras Pelan Integriti Nasional yang mampu meninggalkan kesan dan impak menyeluruh ke atas kumpulan berkenaan.

"Modul integriti dari pihak kita sudah ada. Apa yang perlu ialah mereka (parti politik) jalinkan kerjasama dengan kita dan secara tidak langsung nilai itu pasti dapat diterapkan.

"Malah kita harus ingat bukan ahli politik sahaja yang perlukan nilai integriti ini, bahkan rakyat juga harus faham apa yang kita cuba sampaikan supaya generasi akan datang tidak terpengaruh dengan budaya tidak sihat dalam amalan seharian," katanya.

Berita Harian X