Sabtu, 3 Februari 2018 | 1:53pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan tiga Pusat Internet 1Malaysia serentak iaitu Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh di Bagan Datuk, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

'Azmin tahu dia nak kalah'

HUTAN MELINTANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, didakwa mahu bertanding di Parlimen Pekan dan Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana menyedari bakal kalah di kerusi disandangnya iaitu Parlimen Gombak.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Menteri Besar Selangor itu sedar dengan masalah di kawasan diwakilinya, justeru menyatakan hasrat bertanding di kawasan lain.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan saya mengalu-alukan mana-mana individu yang berniat untuk bertanding sama ada di Bagan Datuk atau di Pekan.

"Mungkin orang itu (Azmin) kawasan sedia ada untuk beliau pertahankan akan mengalami kekalahan, itu sebabnya mencuba nasib di kawasan lain.

"Kita tahu di kawasan yang beliau wakili banyak permasalahan yang menjadi rungutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tiga Pusat Internet 1Malaysia serentak iaitu Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gombak itu semalam, yang dilapor mempertimbangkan bertanding di kerusi Parlimen Pekan atau Bagan Datuk pada PRU-14.

Mohamed Azmin bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Azmin sepatutnya menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebelum berpindah kawasan.

"Saya harap sebelum berniat berpindah kawasan, sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan asas kepada pengundi yang diwakili," katanya.

Ditanya sama ada kenyataan Mohamed Azmin itu bertujuan ingin menewaskan dua pemimpin negara, Ahmad Zahid berkata, Menteri Besar Selangor itu bukan serius.

"Saya tahu dia main-main saja, dalam politik bukan boleh main-main," katanya.

Berita Harian X