X
Isnin, 19 Februari 2018 | 11:51am

106 kerusi penentu kemenangan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 106 kerusi Parlimen, kebanyakannya membabitkan kawasan majoriti pengundi Melayu, bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan kajian kerusi tradisi majoriti pengundi Melayu, tiga parti utama yang ditunjangi kaum Melayu - UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dijangka tertumpu di 44 kerusi Parlimen, manakala 35 kerusi lagi menyaksikan persaingan antara UMNO dengan PAS dan PKR.

Baki 27 kerusi tiga penjuru pula, bakal menyaksikan pertembungan UMNO dengan PAS dan Parti Amanah Negara (PAN).

UMNO dijangka mengekalkan jumlah 121 kerusi ditandingi pada PRU-13 untuk pilihan raya kali ini dan jika ada pertukaran dengan parti komponen, ia akan mengambil kira jumlah majoriti pengundi di kawasan terbabit.

Berdasarkan pengagihan kerusi yang diumumkan pakatan pembangkang bulan lalu, walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai nama kerusi ditandingi, PPBM bertanding di kebanyakan kawasan yang menjadi kerusi utama UMNO, iaitu di 45 kerusi daripada 52 kerusi yang diperuntukkan pakatan pembangkang untuk parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Hanya empat kerusi yang diperuntukkan kepada PPBM bukan kerusi tradisi UMNO, tetapi ditandingi parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) pada PRU-13, iaitu Tapah (MIC), Simpang Renggam (GERAKAN) dan Alor Gajah serta Tanjung Piai, kedua-duanya ditandingi MCA.

Satu kerusi milik PAS kini (sebelum ini Ahli Parlimennya, Datuk Kamaruddin Jaafar menang atas tiket PAS dan kini bertukar kepada PKR), iaitu Tumpat, turut menjadi taruhan PPBM untuk PRU-14.

PKR tanding kerusi sama

Semua kerusi ditandingi PAN adalah kerusi yang dahulunya milik PAS, manakala PKR meneruskan tradisi bertanding kerusi yang sama seperti PRU-13 iaitu kebanyakannya adalah milik PAS sebelum kerjasama antara PAS dengan PKR di bawah Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif.

PAN dilaporkan sedang berbincang untuk merebut kerusi Ayer Hitam yang diputuskan pakatan pembangkang milik DAP serta tambahan dua kerusi lagi yang tidak dinyatakan.

PAS pula sudah mengumumkan untuk bertanding di 130 kerusi, iaitu sembilan kerusi melebihi jumlah yang ditandingi UMNO pada PRU-13 dan kebanyakannya adalah kerusi tradisi parti itu sebelum menjadi sekutu dalam Barisan Alternatif pada 1999 dan Pakatan Rakyat (2008) yang diserahkan kepada PKR.

Antara kerusi berkenaan, termasuk Permatang Pauh, Ketereh, Tanah Merah, Machang dan kebanyakan kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Kebanyakan kerusi yang bakal ditandingi PAS adalah kerusi UMNO kecuali di 11 kerusi, iaitu Alor Setar, Lumut, Pandan, Bandar Tun Razak dan Ayer Hitam kerusi milik MCA dan dua kerusi MIC, iaitu di Kota Raja dan Teluk Kemang, manakala satu kerusi GERAKAN di Simpang Renggam.

PAS ada kemungkinan meletakkan calon di empat kerusi di Sabah iaitu, Semporna, Kalabakan, Batu Sapi dan Kinabatangan manakala lapan kerusi di Sarawak, iaitu di Limbang, Batang Sadong, Batang Lupar, Kota Samarahan, Petrajaya, Sibuti, Igan dan Tanjung Manis berdasarkan penyertaan mereka pada PRU ke-13.

Beri kelebihan kepada UMNO

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum yang lalu, dalam pertandingan tiga penjuru kali ini membabitkan UMNO, PAS dan PAN, kelebihan mungkin berpihak kepada UMNO kerana kebanyakan kawasan adalah kerusi yang dimenangi UMNO .

Parti serpihan PAS, iaitu PAN pula tidak boleh mengelak untuk tidak bertemu PAS dalam pilihan raya umum kali ini kerana pakatan pembangkang memperuntukkan 27 kerusi yang sememangnya milik PAS kepada parti itu.

Kerusi Parlimen yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka antara kawasan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sejumlah 29 kerusi membabitkan kawasan Parlimen diwakili Menteri dan Timbalan Menteri, juga berkemungkinan besar terbabit dalam pertembungan tiga penjuru itu.

Pemimpin pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka berdepan dua pencabar lain, tidak kira sama ada beliau mahu kembali ke kerusi asalnya di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya.

Berita Harian X