Sabtu, 24 Februari 2018 | 9:25pm
KETUA Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii. - Foto Halim Salleh

'Kuok jangan lupa daratan' - pemimpin UMNO

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok, diingatkan supaya tidak lupa daratan, susulan dakwaan individu terkaya di Malaysia itu, mahu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) demi mengangkat DAP sebagai pengganti.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata Kuok perlu menyedari peluang diberikan kerajaan BN selama ini, yang membolehkan beliau berada pada kedudukan hari ini.

"Jika benar dakwaan itu, dia (Kuok) mungkin sudah lupa daratan, lupa tempat dia mencari rezeki dan siapa yang beri dia peluang dulu.

"Hakikatnya, Robert Kuok juga tak pernah bantu peniaga Melayu, sebaliknya sentiasa melebihkan orang Cina saja," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas tulisan Raja Petra Kamaruddin menerusi portal Malaysia Today, yang mendakwa, Kuok mempunyai agenda untuk menjatuhkan BN dan digantikan dengan DAP, bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tabir.

Raja Petra turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancarannya pada 1970, dan menyuarakan bantahan itu kepada pemimpin UMNO, seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times pada 4 Disember tahun lalu.

Pada 2017, Forbes melaporkan Kuok, 94, mengetuai senarai individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih kekayaan berjumlah AS$11.4 bilion, hasil penguasaan dalam sektor perdagangan minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan Kuok sebagai seorang yang tidak tahu berterima kasih, jika dakwaan berkenaan adalah benar.

"Jika benar Kuok mahu mengangkat DAP bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, DAP perlu menyatakan pendirian mereka, adakah parti itu sebenarnya mahukan kerajaan yang diperintah orang Cina.

"Adakah DAP juga mahu menghapuskan DEB dan menentang hak keistimewaan orang Melayu dan adakah benar Kuok penyumbang besar dana politik DAP.

"Kuok sebenarnya tidak perlu lagi campur tangan urusan di Malaysia kerana dia sudah lama meninggalkan negara ini, dan status kerakyatannya ketika ini pun tidak dapat dipastikan," katanya.

Berita Harian X