Ahad, 25 Februari 2018 | 6:22pm
NONG Chik menyampaikan sumbangan kepada penerima, Saraswathy Ellappanraman, 58, (tiga dari kiri) sempena Program Mega SRS Bersama BOSS di Blok E, PPR Kerinchi. - Foto Eizairi Shamsudin
NONG Chik menyampaikan sumbangan kepada penerima, Saraswathy Ellappanraman, 58, (tiga dari kiri) sempena Program Mega SRS Bersama BOSS di Blok E, PPR Kerinchi. - Foto Eizairi Shamsudin

Tukar kerusi bukti pembangkang tidak yakin, khianati pengundi

KUALA LUMPUR: Percaturan politik pemimpin parti pembangkang yang bertukar kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai mengkhianati kesetiaan dan sokongan pengundi yang memilih mereka menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata perkara itu sudah menjadi trend pembangkang sejak dulu, sekali gus membuktikan hilang keyakinan untuk mempertahankan kerusi disandang.

"Kalau kita tengok, trend wakil rakyat pembangkang ini memang suka tukar tempat (kerusi) pun, boleh pergi ke mana-mana sebab pada mereka kerusi Parlimen ini sebagai platform saja untuk perjuangkan bapa dia (merujuk kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar) keluar dari penjara.

"Apabila rakyat mengundi pemimpin berkenaan (dan kemudian tukar kerusi), mereka sudah khianati pengundi, tapi dia akan buat alasan pucuk pimpinan parti sudah putuskan untuk pergi tempat lain," katanya pada Program Mega Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bersama BOSS Ke Arah Pembangunan Masyarakat Berkualiti di Blok E Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Lembah Pantai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Suraya Wen.

Nong Chik berkata demikian ketika mengulas tindakan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR yang didakwa tidak akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai disandangnya sejak 2008 pada PRU-14, sebaliknya berpindah ke kawasan lain yang dilihat lebih selamat.

Beliau berkata, perjuangan politik pakatan pembangkang jauh berbeza dengan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang banyak mendapat sokongan akar umbi, malah kita tidak akan lari ke mana-mana.

"Dulu ketika saya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, ada pihak tertentu cadangkan saya bertanding di tempat lebih selamat, tetapi saya kata jika mahukan tempat selamat lebih, baik saya tidak payah bertanding kecuali di kawasan Lembah Pantai yang saya perjuangkan begitu lama," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keyakinannya untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU-14, Nong Chik berkata, ia terserah kepada kepimpinan parti, namun beliau melihat petanda jelas untuk bertanding di kerusi sama.

"Dalam tempoh empat lima tahun ini, saya meneruskan usaha lebih mendalam mendekati penduduk Lembah Pantai dan mempunyai keyakinan lebih besar berbanding dulu.

"Mungkin dulu saya tak ada masa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan serahkan kepada pegawai, tetapi kali ini saya sendiri banyak turun padang dan ini juga beri satu keyakinan mendapat sokongan pengundi," katanya.

Pada PRU-13, Nurul Izzah menewaskan Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi. Pada PRU 2008, Nurul Izzah merampas kerusi itu daripada tangan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Berita Harian X