Rabu, 7 March 2018 | 4:19pm
PENYELARAS Barisan Nasional (BN) Parlimen Cameron Highland, Datuk Sivarraajh Chandran. - Foto L. Manimaran

MIC mahu kekal cemerlang di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: MIC komited dalam mengekalkan persaingan di Parlimen Genting Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus membuktikan gerak kerja parti itu cukup efisyen dalam mendekati pengundi di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu.

Perkara itu turut diakui Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam kenyataanya, hari ini, yang menyatakan bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah kekal milik MIC.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Cameron Highland, Datuk Sivarraajh Chandran, berkata kesemua usaha dan komitmen MIC selama ini tidak harus diketetepikan, khususnya dalam mengekalkan persaingan di Parlimen Cameron Highlands sehingga menjadi kerusi tradisi.

"Dari hari pertama dihantar ke Cameron Highlands, saya berkerjasama secara erat dengan UMNO, MCA dan GERAKAN bagi menggerakkan program rakyat sebagai menunjukan kekuatan BN jika kita bersatu di bawah satu payung.

"Sesiapa saja calon MIC yang akan ditampilkan di Parlimen Cameron Highlands pada PRU akan datang perlu memastikan momentum sokongan rakyat dan pengundi terhadap BN terus utuh bagi memastikan kerusi ini menyumbang satu undi kemenangan kepada BN," katanya.

Katanya, beliau juga yakin dengan keupayaan jentera BN di Cameron Highlands yang turut dibantu UMNO dan parti komponen lain dalam memastikan anasir negatif dan hasutan yang cuba dibawa pembangkang dapat dipatahkan.

"Berdasarkan statistik terkini SPR, sehingga suku ketiga 2017, jumlah pengundi berdaftar adalah 14,806,185 orang. Daripada jumlah itu, 7.09 juta pengundi adalah mereka berusia 21 hingga 39 tahun atau boleh diketegorikan sebagai pengundi muda.

"Sebagai mewakili Pemuda MIC juga, sudah pasti data ini memberi petanda supaya semua jentera pemuda, terutama dari MIC perlu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan sokongan anak muda akan sekali lagi berpihak kepada BN," katanya.

Jelas Sivarraajh lagi, jumlah 7.09 juta itu bukan sedikit dan ia memerlukan pendekatan dan gerak kerja holistik bagi membolehkan setiap suara dan permasalahan rakyat didengari.

"Parti politik khususnya BN perlu melakukan banyak lagi perancangan dan kerja selepas ini, terutama untuk PRU14 yang pasti cabarannya jauh lebih hebat.

"Pemuda MIC akan bersama Pemuda BN lain yang dipengerusikan oleh YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk terus berusaha mendekati seberapa ramai pengundi muda termasuk di bandar bagi menyampaikan mesej dan rancangan BN dalam membawa negara ini ke mercu lebih berjaya termasuk di bawah Transformasi Negara 2050 (TN50)," katanya.

Berita Harian X