Rabu, 21 March 2018 | 1:02pm

Jangan pasang bahan kempen di tempat berisiko - TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya tidak memasang bahan kempen di tempat berisiko terkena renjatan elektrik.

Antaranya, tidak meletakkan atau menggantung bendera dan sepanduk parti di tiang, kabel, peti pembekal, pencawang dan pepasangan elektrik lain dalam keghairahan berkempen.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, berkata perbuatan itu boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan kerana individu terbabit berisiko terkena renjatan elektrik.

"Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku. Aktiviti berbahaya ini turut menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.

"Justeru, saya meminta kerjasama semua parti politik supaya tidak meletakkan tiang bendera atau sebarang sepanduk berhampiran kabel atau pencawang elektrik. Walaupun tiang bendera yang digunakan diperbuat daripada buluh, ia tetap berisiko terkena renjatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Roslan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana dikhuatiri boleh menarik arus elektrik, sekali gus menyebabkan renjatan bagi mereka yang berada berhampiran.

Katanya, TNB akan membuat pemantauan, selain menjalankan operasi membuang bahan kempen diletakkan berhampiran pepasangan elektrik jika didapati memberi risiko tinggi kepada pengguna.

"Orang ramai yang melihat sebarang keadaan boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB Careline atau terus menghubungi TNB Careline di talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil segera," katanya.

Berita Harian X