Sabtu, 24 March 2018 | 11:47pm
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 GERAKAN Pulau Pinang di pejabat Gerakan Pulau Pinang, Jalan Macalister. - Foto Mikail Ong
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 GERAKAN Pulau Pinang di pejabat Gerakan Pulau Pinang, Jalan Macalister. - Foto Mikail Ong

'Kit Siang tolak Dr Mahathir, Chong Eu'

GEORGETOWN: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, pernah menolak Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tun Dr Lim Chong Eu semata-mata bagi mendapatkan sokongan pengundi Cina di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986.

Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata Kit Siang mula datang ke Pulau Pinang pada kempen politik 'Tanjung 1' bertujuan menumbangkan mendiang Chong Eu yang ketika itu menjadi Ketua Menteri.

Katanya, Kit Siang ketika berkempen secara terbuka menghasut pengundi menolak Dr Mahathir dan Chong Eu sehingga meyebabkan perpecahan dalam masyarakat Cina di Pulau Pinang ketika itu.

"Kit Siang gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 1986, namun pada 1990 beliau melancarkan pula 'Tanjung 2' dan mendakwa Chong Eu yang ketika itu berusia 71 tahun sudah tua dan tidak lagi layak menjadi Ketua Menteri.


Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (enam dari kanan) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow (lima dari kiri) bersama ahli-ahli parti GERAKAN negeri memotong kek pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 GERAKAN Pulau Pinang di pejabat Gerakan Pulau Pinang, Jalan Macalister. - Foto Mikail Ong

"Tetapi kini, Kit Siang yang berusia 77 tahun menyokong pula Dr Mahathir yang berusia 92 tahun menjadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 50 Tahun GERAKAN, di sini, malam ini.

Tsu Koon berkata, selama hampir 40 tahun memerintah Pulau Pinang, tidak pernah Ketua Menteri atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu didakwa akibat rasuah atau salah guna kuasa.

"Tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini, sudah pelbagai cerita timbul sehingga ada Ketua Menteri dan ADUN yang didakwa di mahkamah.

"Ini berbeza dengan pentadbiran kita dahulu yang sehingga kini mengutamakan rakyat dan sentiasa bekerja demi kesejahteraan dan masa hadapan Pulau Pinang," katanya.

Berita Harian X